Saturday, February 19, 2011

Lambang USM

Lambang  Universiti Sains Malaysia yang terdiri daripada anak bulan, dua ekor harimau, perisai dan moto, melambangkan identiti  Malaysia,  yang  universiti  ini mendapat  ilham  dan sokongan.  Peranan universiti sebagai institusi kebangsaan terserlah dalam  beberapa simbol lain.  
Anak bulan melambangkan kebesaran agama Islam sebagai agama rasmi negara. Anak bulan dengan bintang pecah empat belas pula melambangkan perpaduan tiga belas buah negeri dengan Kerajaan Malaysia.

Dua  ekor harimau, suatu simbol khusus bagi negara Malaysia, yang menggambarkan sifat-sifat kekuatan. Dua pelepah daun bertinta emas menandakan kemakmuran ekonomi Malaysia.  Perisai yang diapit  dua ekor harimau,  sejenis alatan untuk perlindungan,  merupakan  suatu alatan  tradisional yang diguna khususnya oleh orang-orang asli di negara ini.  Warna ungu, yang menggambarkan kedudukan tinggi pula menjadi warna rasmi Universiti Sains Malaysia.

Buku terbuka yang terletak di bahagian atas perisai diibaratkan sebagai elemen ilmu yang dikaitkan dengan Universiti Sains Malaysia.  Dua bilah keris,  yang merupakan senjata tradisional orang-orang Melayu pula melambangkan kebesaran dan kekuasaan keluarga diraja.  Bunga raya di bahagian atas perisai pula merupakan bunga kebangsaan negara.

Secara keseluruhannya, lambang ini didukung oleh moto ‘KAMI MEMIMPIN’ (WE LEAD) yang menggambarkan peranan Universiti dalam bidang ilmu, pengajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat.

Logotaip
Huruf S berwarna putih diletakkan di antara huruf U dan M yang berwarna ungu.

usmlgLogotaip rasmi USM direka bentuk dalam susunan tiga huruf serangkai yang melambangkan perpaduan USM sebagai sebuah organisasi.  Huruf S berwarna putih dan diapit oleh huruf  U dan M yang berwarna ungu iaitu warna rasmi Universiti.

Penggunaan huruf S yang berwarna putih melambangkan  kampus yang sejahtera  serta cara pemikiran warganya yang sihat dan tajam.  Huruf S  juga melambangkan bidang Sains dan Sastera dalam bentuk simetri, iaitu simbol keseimbangan dan keharmonian dalam pencarian ilmu.


Huruf  S yang terbuka pada bahagian atas dan bawahnya mewakili ciri “ di luar kotak pemikiran biasa” yang selari dengan aspirasi inovatif USM sebagaimana yang termaktub dalam misi universiti. Huruf S yang bersambung dengan huruf  U dan M pula melambangkan hubungan erat di antara universiti dengan rakyat melalui penyebaran ilmu pengetahuan yang meluas.

Warna Jingga
Warna jingga diterapkan daripada warna harimau pada lambang rasmi USM yang menggambarkan ciri-ciri USM yang dinamik dan aktif sebagai pelopor ilmu pada peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

Segitiga Jingga
Segitiga jingga melambangkan kekukuhan USM berdasarkan tiga nilai teras Universiti – Unggul, Sejahtera, Mesra. Kedudukan segitiga ini pada bahagian bawah huruf S melambangkan kepentingan ketiga-tiga nilai di atas dalam mendukung moto USM “Kami Memimpin”

Empat Garis Tegak Jingga
Empat garis tegak jingga ini pula melambangkan empat prinsip panduan USM yang berfungsi sebagai tonggak utama dalam keseluruhan pembangunan Universiti.


logotypeTanda Jenama USM
Tanda Jenama USM menjadi teras identiti jenama USM dan justeru, ia harus sentiasa dilihat sama walau di mana  jua ia dilihat.

Tanda Jenama ini merupakan gabung jalin di antara Lambang, Logotaip dan Pemerihal Universiti.  Ketiga-tiganya bersatu teguh sebagai satu entiti tunggal.
Tanda Jenama ini boleh didapati dalam dua format bagi memaksimumkan impak visualnya iaitu melintang dan menegak, bergantung pada ruang yang ada.

No comments:

Post a Comment